Saturday, October 24, 2009

LKIM: LUBUK REZEKI NELAYAN

Oleh: Nurshafina Abd Rahman, Siti Norfatimah Saimi & Siti Nazirah Mat Ail


Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditubuhkan dengan matlamat untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan serta mengembang dan memajukan perusahaan perikanan negara. Antara tanggungjawab LKIM yang diperuntukkan di dalam Akta 49 ialah menggalakkan dan memajukan pengurusan yang cekap dan berkesan mengenai perusahaan-perusahaan perikanan dan pemasaran ikan.

Sejajar dengan matlamat tersebut, LKIM telah menggalakkan penubuhan persatuan-persatuan nelayan dengan tujuan untuk memajukan kepentingan-kepentingan ekonomi dan sosial ahli-ahlinya. Antara program-program yang telah dijalankan oleh LKIM ialah Pembangunan Institusi Nelayan, Kemudahan Infrastruktur, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Industri Perikanan. Di bawah Program Sokongan Infrastruktur, LKIM telah menyediakan sebanyak 27 buah Kompleks Pendaratan Ikan di seluruh Malaysia. Sesungguhnya melalui LKIM, usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup nelayan mampu direalisasikan. LKIM telah membina pelabuhan baru di Kuala Kedah yang bernilai RM 43.8 juta yang mampu menampung 100 buah bot nelayan pada satu masa dan mendaratkan 400 metrik tan ikan dalam sebulan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail, pelabuhan ini akan memudahkan nelayan untuk mendaratkan ikan dan menjualnya kepada pelanggan. Tambah beliau, permintaan hasil ikan adalah tinggi dan pelabuhan yang lebih moden ini dapat memaksimumkan pendaratan ikan untuk dijual kepada pelanggan. Selain itu, LKIM menggalakkan golongan nelayan untuk menyertai persatuan nelayan di kawasan masing-masing untuk meningkatkan pendapatan mereka. Dengan menyertai persatuan ini, mereka boleh bergiat dalam bidang perniagaan dan memajukan diri serta tidak terlalu bergantung kepada hasil laut semata-mata.

LKIM telah memperkenalkan penternakan ikan secara akuakultur bagi mengatasi masalah kekurangan ikan terutamanya apabila musim tengkujuh. Akuakultur merupakan proses menternak spesies ikan air tawar, air payau atau air masin dalam persekitaran yang terkawal. Negara kita kini tidak mengharapkan ikan import dari Thailand, Myanmar dan Indonesia memandangkan bekalan ikan di Malaysia masih mampu menampung permintaan pasaran. Antara kawasan yang boleh dimajukan melalui kaedah akuakultur adalah tasik, bekas lombong, empangan, kolam konkrit dan muara sungai.

Spesies ikan air tawar yang boleh diternak ialah talapia, keli, baung, patin, termoleh, jelawat dan haruan. LKIM telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Negeri Perlis bagi menaik taraf pelantar kompleks LKIM Kuala Perlis agar sepadan dengan statusnya sebagai pelantar pendaratan ikan kedua terbesar di Malaysia. Pengarah LKIM negeri, N.Hashim Ab.Rahman berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) untuk mendapatkan peruntukkan RM 157 juta bagi menaik taraf kompleks tersebut.

Sehubungan itu, perlaksanaan pelbagai projek pembangunan telah meningkatkan taraf sosioekonomi nelayan di Malaysia. Nelayan tradisional perlu mengubah hala tuju untuk bersaing dengan lebih kompetitif untuk menambah pendapatan mereka. Mungkin selama ini, mereka tidak pernah terfikir sebenarnya mereka mampu untuk menjana pendapatan yang lebih besar jika mereka memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan oleh LKIM dengan tidak hanya bergantung kepada bot-bot kecil yang ada kalanya tidak mendatangkan hasil tangkapan memuaskan.

AKUAKULTUR...Penternakan akuakultur menjana pendapatan nelayan
MAJU...Jeti LKIM Kuala Perlis bakal menjadi pelabuhan ikan terbesar negara

No comments:

Post a Comment