Saturday, October 24, 2009

MASALAH PEMBUANGAN BAYI DAN APAKAH KESUDAHANNYA

Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru berorientasikan sains dan teknologi. Namun, kita leka dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, banyak laporan tentang bayi yang ditemui di dalam tandas, di tepi longkang, di tepi masjid dan lain-lain tempat tanpa ada perikemanusiaan.

Masalah ini semakin hari semakin serius, seringkali kita di gemparkan dengan kejadian seumpama ini di dada akhbar. Jadi, di manakah silapnya dan siapakah yang harus dipersalahkan? Berikutan terdapat beberapa punca berlakunya masalah ini, pihak berkaitan perlu bertindak untuk mencari jalan penyelesaiannya. Masalah pembuangan bayi ini kebanyakannya melibatkan golongan remaja terutamanya yang masih bersekolah dan mengalami masalah kepincangan keluarga.

Faktor utama berlakunya pembuangan bayi adalah disebabkan oleh remaja yang bebas dalam pergaulan dan amalan seksual. Biasanya, remaja tersebut datang daripada institusi keluarga yang bermasalah seperti ibu bapa yang tiada persefahaman, bergaduh dan bercerai. Institusi keluarga merupakan faktor utama dalam membentuk peribadi anak-anak. Menjadi tanggunggjawab ibu bapa untuk mencorak kehidupan anak-anak mereka.

Selain itu, faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat. Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik seperti video lucah, gambar pornografi di dalam internet dan juga telefon bimbit sudah menjadi trend remaja masa kini, malah mereka sanggup membeli gambar tersebut daripada rakan mereka.

Masalah ini turut menjadi punca untuk merangsang remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat kita. Kesan perbuatan membuang bayi dimerata tempat menyebabkan terdedahnya pelbagai risiko termasuk kematian di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.

Melihat kepada senario pada hari ini, jenayah ini merupakan implikasi daripada keruntuhan jiwa dan akhlak yang akan menyebabkan lahirnya masyarakat yang melanggar norma-norma agama. Masalah jenayah pembuangan bayi harus ditangani segera sebelum ia merebak menjadi masalah sosial dalam masyarakat. Terdapat beberapa langkah dalam mengatasi masalah ini supaya tidak berterusan sehingga ke generasi akan datang.

Masyarakat harus sedar bahawa masalah sosial adalah masalah kita bersama dan memerlukan penyelesaian yang bersepadu dan terancang melalui pelbagai pendekatan secara proaktif termasuk pendekatan keagamaan yang merupakan tunjang kerohanian bagi setiap individu. Apa yang pasti, pentingnya pegangan agama dan nilai kerohanian dalam kehidupan manusia tidak dapat disangkal lagi. Agama memainkan peranan penting untuk memandu ahli masyarakat agar mempunyai tingkah laku yang sesuai dengan nilai, norma dan pertimbangan rasional kebanyakan ahli masyarakat.

Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan kepada dua faktor yang saling berhubung iaitu faktor qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran. Ini kerana, antara naluri dan kecenderungan utama remaja dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani. Maka setiap anak memerlukan contoh teladan, 'role-model', 'mentor' dan qudwah supaya kebaikan dan kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupan.

Oleh itu, ibu bapa adalah model utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak-anak. Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah yang terbaik. Selain itu, ibu bapa harus bijak menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat, cemerlang serta mempraktikkan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan seharian dalam membentuk keluarga harmoni. Sekiranya mereka mengabaikan dan tidak peduli pada perilaku dan akhlak remaja, maka dengan sendirinya akan lahirlah remaja yang bermasalah.

Selain itu, kerajaan juga boleh menggunakan kaedah sains iaitu ujian deoxyribonucleic acid (DNA) untuk menangani masalah ini. Cara ini mungkin lebih berkesan kerana pihak berkuasa boleh mengesan dan mengenal pasti identiti ibu bayi termasuk bapa kepada bayi yang tidak berdosa itu melalui ujian DNA. Individu yang didapati terlibat dalam jenayah iaitu ibu dan bapa bayi tersebut harus dikenakan hukuman yang setimpal agar menjadi tauladan kepada masyarakat.

Hakikatnya, segenap lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesaikan masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak khususnya remaja agar tidak terjebak dengan gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka. Hal ini kerana golongan remaja merupakan golongan yang bakal mewarisi negara untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan dan menjadi tonggak utama dalam pembangunan negara.

Kesimpulannya, cabaran menangani gejala sosial terutama yang melibatkan pembuangan bayi seharusnya dipandang serius. Justeru, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi penyakit sosial yang sukar diubati.

No comments:

Post a Comment