Saturday, October 24, 2009

PEMBANGUNAN AGRO PELANCONGAN JANA EKONOMI NEGERI KEDAH

Oleh: Nik Nurul Atikah Nik Mahmud, Siti Saidah Mohammd Rostam & Wan Zainab Wan Mohd Nor


Sektor Agro Pelancongan Negeri Kedah yang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah berjaya membantu meningkatkan ekonomi dan pembangunan masyarakat ke serata kawasan di negeri Kedah. Sektor pertanian untuk pelancongan di negeri ini melibatkan resort, homestay dan chalet, akuakultur dan ladang mempelam telah menunjukkan potensi perkembangan yang memberangsangkan.

Pembangunan sektor ini secara asasnya merangkumi tiga kategori utama iaitu agro pelancongan berasaskan ladang tanaman, agro pelancongan berasaskan ladang ternakan, dan agro pelancongan berasaskan perikanan. Agro pelancongan ini bertujuan mendidik orang ramai mengenai kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian, pemuliharaan alam sekitar, menyediakan kawasan rekreasi dan memaksimumkan penggunaan tanah sesuai dengan konsep kawasan hijau.

Destinasi Agro Pelancongan ini adalah Muda Resort dan Empangan Muda, Empangan Pedu, Ladang Mempelam MoA Inc. Tobiar, Homestay dan Chalet Kampung Pulau Pisang, Homestay dan Chalet Kampung Jeruju dan beberapa kampung lain yang terlibat yang rata-ratanya menawarkan pelbagai kemudahan, aktiviti dan perkhidmatan yang lengkap sebagai tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmatinya dengan selesa.

MADA adalah antara agensi kerajaan yang sudah tidak asing di negara ini kerana dikenali sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelidik, mengembangkan dan mempromosikan teknologi pertanian bagi mencapai suatu tahap yang amat membanggakan dalam sektor ini.

“Kejayaan suatu projek memerlukan pengorbanan dan tidak boleh dicapai dalam jangka masa yang singkat kerana pelbagai dugaan dan persepsi negatif pelbagai pihak perlulah ditangani secara bijak dan positif. “Sebagai pihak yang bertanggungjawab, kita perlu peka dengan keadaan persekitaran semasa dan pantas memberikan respon yang positif dengan mengambil tindakan penyesuaian terhadap perubahan keadaan dan agenda pembangunan modal insan harus diterapkan selari dengan pembentukan program pembangunan agar kejayaan sesuatu projek itu turut mencerminkan kejayaan modal insan itu sendiri,” kata Dato’ Hj. Abdul Rahim bin Saleh, Pengurus Besar MADA ketika dihubungi di pejabatnya baru-baru ini.

Manfaat turut diterima oleh para pengusaha sektor agro pelancongan ini kerana di samping mempromosikan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian aktiviti, mereka juga dapat menjana pendapatan mereka sendiri dengan pulangan yang cukup lumayan. “Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada para pelancong seperti melawat ke tempat-tempat menarik dan disediakan tempat penginapan dan sajian makanan ala kampung, persembahan kebudayaan seperti seni silat, berendoi, sepak raga bulatan dan perarakan bunga telur serta sirih junjung.

“Melalui cara ini, para pelancong dapat merasai dan mengenali lebih dekat kehidupan dan kebudayaan masyarakat setempat,” kata Jamil Hassan, Timbalan Pengerusi Komuniti Bestari Kampung Raga.

Strategi pembangunan program agro pelancongan adalah menjurus kepada usaha-usaha untuk menyedia, melengkap dan meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti jalan masuk, pondok wakaf, tempat letak kereta dan tandas awam. Projek-projek atau kegiatan yang mempunyai ciri-ciri komersil seperti pembinaan chalet, restoran dan gerai makanan pula dibiayai sama ada oleh pihak swasta, jabatan atau agensi kerajaan.

Homestay kini dilihat sebagai salah satu destinasi menarik dan mendapat sambutan kerana dapat melibatkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan dengan menyediakan ladang buah-buahan komersial dan taman bagi pelancong merasai pengalaman bercucuk tanam dan berkebun semasa lawatan.

Selain menjadi satu produk pelancongan alternatif yang menawarkan percutian dengan harga yang rendah kepada pelancong, program homestay juga merupakan satu strategi untuk membangunkan taraf hidup penduduk luar bandar melalui penglibatan mereka dalam perancangan dan pembangunan pelancongan.

“Dengan penglibatan dalam sektor agro pelancongan, para penduduk tempatan juga akan berasa lebih selesa kerana taraf hidup mereka semakin meningkat di samping turut menjadi pelengkap kepada pembangunan kawasan Yan yang sebelum ini terpinggir kerana terletak di kawasan luar bandar,” kata Abdul Rashid Abdul Samad, pengusaha program DusunStay Kampung Raga.

Kejayaan yang dicapai melalui sektor agro pelancongan ini adalah menjadi tanggungjawab bersama antara kerajaan, sektor swasta serta rakyat bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan ekonomi masing-masing, malah menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh itu, semua pihak perlulah bersama-sama memberikan komitmen dan sokongan dari segenap lapangan agar rantaian ekonomi 1Malaysia ini berjaya mencapai tahap yang terbaik dan mampu menjadi model kepada negara-negara luar di masa hadapan.

MEMBANGUN...Sektor pertanian untuk pelancongan yang semakin berkembang pesat di negeri Kedah membantu menjana pendapatan masyarakat sekitarnya

No comments:

Post a Comment