Saturday, October 24, 2009

GOLF DAN UUM

Oleh: Nurul Shuhana Darus, Melati Ismal & Nuur-Fadzillah bin Zulkipli

Permainan golf bukan lagi dimonopoli oleh golongan elit atau diraja kerana permainan ini sudah diminati oleh seluruh lapisan masyarakat kerana kelengkapan yang lengkap disediakan dan pendedahan mengenai sukan ini secara terbuka pada masa kini.

Di Malaysia sahaja terdapat 300 padang golf dan kadar pertumbuhan setiap tahun sekitar 5% dan berkeluasan melebihi 50 ekar serta mempunyai 18 lubang berjarak 5 hingga 6 meter antara satu dengan lain. Terdapat tiga buah universiti di Malaysia mempunyai padang golf seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di UUM, permainan ini telah mendapat sambutan yang baik kerana pendedahan mengenai sukan ini adalah sangat meluas di mana UUM sering menganjurkan pertandingan dan menyertai pertandingan yang diadakan di luar kampus seperti perlawanan di antara universiti.

Minat yang mendalam Naib Canselor UUM iaitu Tan Sri Nordin Kardi dalam permainan ini amat membanggakan warga UUM di mana beliau pernah muncul sebagai juara di dalam beberapa pertandingan yang pernah disertainya. Walau bagaimanapun permainan golf di UUM tidak sepenuhnya dipelopori oleh golongan atasan tetapi kelab golf juga mengalu-alukan keahlian dari pelajar dan juga masyarakat luar dari UUM.

Jurulatih golf untuk kelas ko-kurikulum UUM, Zainudin Omar, 38, berkata, permainan golf ini adalah satu permainan yang kompleks tetapi ia juga satu permainan yang menarik. “Golf ini diibaratkan seperti kisah Laila dan Majnun di mana Majnun akan melakukan apa saja tentang Laila.

“Begitulah seandainya seseorang telah jatuh cinta terhadap permainan golf di mana mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi minat terhadap permainan ini kerana ianya terlalu banyak memberi kebaikan dalam hidup seseorang ” katanya.

Untuk memenuhi manfaat permainan ini, padang golf UUM juga dibuka untuk orang luar tetapi mereka dikenakan yuran lebih tinggi berbanding yuran yang dikenakan terhadap warga UUM. Sejak padang golf UUM ini ditubuhkan, seramai 300 orang telah mendaftar sebagai ahli kelab golf universiti dan mereka diwajibkan membayar sebanyak RM 150 untuk setahun dan RM 10 untuk setiap bulan.

Walaupun begitu, terdapat syarat untuk menjadi ahli kelab golf UUM ini iaitu pelajar haruslah pandai untuk melakukan swing atau ayunan yang baik. Zainudin Omar dalam pertemuan dengannya berkata, di kelab ini juga sistem handikap diamalkan iaitu sistem yang membolehkan ahli yang mempunyai kepakaran dalam permainan golf bermain bersama dengan ahli yang kurang menyerlah di mana ia bertujuan untuk menyeimbangkan keputusan permainan.

“Permainan golf juga melibatkan fahaman fizik dan daya tumpuan seperti kelajuan bola yang dipukul adalah bergantung kepada kelajuan ayunan pemukul, sudut kayu dan pola, permukaan hentaman serta arah hentaman,” katanya.

Di akhir pertemuan, beliau berharap lebih ramai pelajar UUM melibatkan diri dalam permainan golf ini kerana permainan ini melibatkan pelbagai aspek yang dapat memantapkan lagi jati diri seseorang serta dapat membawa kita lebih dekat dengan gerbang kejayaan.

PELBAGAI...Terdapat pelbagai saiz dan bentuk alat permainan golf mengikut fungsinya

CERIA...En. Zainuddin Omar ceria ketika menceritakan pengalamannya sebagai pemain dan jurulatih golf di UUM

No comments:

Post a Comment