Saturday, October 24, 2009

AKADEMIK VS KEGIATAN LUAR

Oleh: Harlinah Nantong, Norafizah Baharin & Nor Faizah Abdul Karim


Akademik atau kegiatan luar? Persoalan inilah yang selalu bermain di kotak fikiran setiap mahasiswa. Umumnya, terdapat tiga golongan pelajar iaitu pertama, golongan pelajar yang lebih mementingkan akademik atau lebih dikenali sebagai “ulat buku”.

Golongan kedua pula adalah golongan yang lebih cenderung kepada kegiatan luar dan penumpuan kepada bidang akademik adalah di tahap sederhana manakala golongan ketiga pula adalah pelajar yang mampu mengimbangi kedua-duanya. Anda pula tergolong dalam kategori yang mana?

Di negara kita, kecemerlangan akademik menjadi asas kepada pengukuran kejayaan seseorang individu. Malah, sebahagian masyarakat kita lebih mementingkan prestasi akademik agar memperolehi status yang lebih berprestij. Oleh sebab itu, tidak hairanlah segelintir ibu bapa berpendapat bahawa penglibatan secara aktif dalam kegiatan luar khususnya bidang sukan akan memberikan kesan yang negatif ke atas prestasi akademik anak-anak mereka.

Namun sedar atau tidak, kegiatan luar juga sebenarnya turut menyumbang kepada kejayaan pelajar dan menentukan masa depan kerjaya mereka. Menurut Falsafah Pendidikan Negara, dalam usaha melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dalam aspek rohani, jasmani dan intelek, aktiviti luar di lihat dapat membentuk pelajar yang seimbang dari semua segi. Pensyarah Fakulti Sumber Manusia, Dato’ Abu Seman Awang, yang ditemui berkata setiap pelajar perlulah mempunyai konsep pembangunan pelajar dalam diri mereka.

“Konsep pembangunan yang dimaksudkan di sini adalah konsep secara menyeluruh iaitu dari segi mental,fizikal dan roh. Pembangunan mental merupakan bidang akademik yang difokuskan oleh setiap pelajar iaitu mata pelajaran teras atau mata pelajaran jurusan yang diambil di universiti. Manakala keperluan fizikal pula merupakan aktiviti luar yang disertai oleh pelajar seperti bidang sukan. Seterusnya konsep roh pula merupakan pegangan agama seseorang mahasiswa,” katanya.

Hal ini turut diakui oleh Mohd Sofian, Aminuddin dan Borhan (2002) dalam kajian, mereka menyatakan bahawa aktiviti luar merupakan pelengkap kepada kehendak dan keperluan akademik di mana ia menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar untuk menambah, mengukur dan mengamalkan kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai yang telah dipelajari semasa pembelajaran dalam bilik kuliah.

Pelbagai faktor penghalang yang dikesan membataskan penglibatan pelajar dalam kegiatan luar antaranya ialah kekurangan masa. Kebanyakan pelajar terlalu sibuk dengan aktiviti berkaitan akademik terutamanya pelajar yang terlibat dalam peperiksaan.

Menurut Lim Yen Yun (1991) menganggap bahawa akademik dan hiburan adalah lebih mustahak sehingga mengakibatkan ramai pelajar mendapat keputusan yang cemerlang tetapi tidak mempunyai kecergasan fizikal dan kemahiran untuk bersosial.

Seterusnya, faktor kurang minat juga dilaporkan mempengaruhi penglibatan individu dalam kegiatan luar. Faktor ini juga menyebabkan keterbatasan penglibatan individu akibat daripada masalah tekanan atau bebanan tugas. Perkara ini adalah hasil kajian Canada Fitness Survey (1983) yang mendapati bahawa faktor tekanan kerja merupakan penghalang utama penglibatan di dalam kegiatan luar bagi individu yang berumur 20 tahun ke atas.

Oleh itu, pihak universiti itu sendiri perlu menggalakkan mahasiswa melibatkan diri dalam kegiatan luar agar kemahiran interaksi pelajar lebih luas. Hal yang demikian juga dapat membantu pelajar berkembang dari segi intelektual, spiritual dan sosial. Seterusnya aktiviti luar juga di kesan turut membantu perkembangan akademik sekaligus melahirkan semangat kesukarelaan yang semakin berkurangan dalam kalangan mahasiswa.

Kaswan Narwan, 3, Logistik yang ditemui, “saya lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam kegiatan luar. Sejak sekolah lagi saya telah bergiat aktif dalam bidang sukan dan minat ini saya teruskan sehingga ke peringkat Universiti. Namun, ia tidak bermaksud saya memandang ringan keperluan akademik kerana saya sedar fokus utama saya ke sini adalah untuk belajar,” kata Kaswan Narwan.

Tidak semua pelajar berfikiran sama seperti Kaswan. Wan Haironniza Wan Naim, 5, Komunikasi pula berkata “Saya lebih mementingkan hal akademik kerana ia adalah matlamat utama saya. Namun, saya juga melibatkan diri dalam aktiviti luar untuk memperolehi pengalaman dan pengetahuan luar kuliah di samping untuk meningkatkan keyakinan diri,” kata Wan Haironniza Wan Naim.

Ternyata bidang akademik dan kegiatan luar saling melengkapi dan bukannya saling berlawanan. Kejayaan seseorang mahasiswa itu sebenarnya bergantung kepada kemampuan dan usaha mereka sendiri. Jika mereka bijak untuk membahagikan masa dan berusaha untuk mencapai matlamat kendiri mereka, pasti kedua-dua kemahiran itu dapat dimiliki dalam satu masa. Jelas juga bahawa banyak faktor yang mempengaruhi prestasi akdemik seseorang pelajar. Sehubungan dengan itu, kita perlu rasioanal bila berhadapan dengan situasi begini.

SEIMBANG...Kegiatan luar perlu seimbang dengan bidang akademik kerana ia merupakan pemangkin kecemerlangan pelajar

FOKUS...Pelajar perlu menguasai bidang akademik kerana ia merupakan asas pembangunan sahsiah pelajar

No comments:

Post a Comment