Saturday, October 24, 2009

PSSGM MENINGKATKAN PEMBANGUNAN SAHSIAH DIRI PELAJAR

Oleh : Mohd Nor Azwan Che Bongsu, Masitah Nor Fatimah Md Zahari & Siti Muzalifah Yatim.

Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri yang meliputi aspek teknik dan gaya yang berbeza dengan seni pertahanan diri yang lain. Hal ini kerana seni silat mempunyai gerak tari yang begitu unik dan jurus-jurusnya dikenakan pada sendi-sendi bagi menjatuhkan pihak lawan serta sinonim dengan amalan-amalan batiniah.

Silat mempunyai pelbagai jenis seperti silat cekak, silat olahraga, silat sendeng, silat abjad, silat seni gayong dan sebagainya. Tetapi silat seni gayong mempunyai perbezaan yang nyata dari segi namanya yang unik kerana setiap huruf dalam perkataan gayong itu sendiri membawa makna yang mendalam dan bermatlamat untuk meningkatkan pembentukan sahsiah diri seseorang yang mempelajarinya.

Sebenarnya, sejarah silat seni gayong dikatakan telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ada suatu riwayat menyatakan salah seorang putera Bugis iaitu Almarhum Daeng Kuning atau dikenali sebagai Panglima Hitam telah belayar meninggalkan tanah Bugis dan menjelajah ke serata Kepulauan Melayu untuk mencari kawasan penempatan yang baru. Bugis Daeng Kuning ialah moyang kepada Dato’ Meor Abdul Rahman, yang mana beliau seorang mahaguru silat seni gayong.

Syed Dato’ Meor Abdul Rahman telah mempelajari silat seni gayong daripada nendanya sendiri iaitu Tuan Syed Zainal Syed Idris Al-Attas ketika berusia 12 tahun. Kemudian beliau mengembangkan lagi ilmu persilatan ke pelusuk Tanah Melayu walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Silat seni gayong sememangnya mempunyai kelainan yang tersendiri berbanding silat yang lain. Hal ini kerana silat seni gayong itu sendiri mengandungi teknik unik seperti sepak menyepak, buang membuang, tikam menikam, tangkap menangkap, elak mengelak, sekat menyekat, hadang menghadang, tangkis menangkis dan seumpamanya yang lebih berseni berbanding seni mempertahankan diri yang lain.

Pelajaran ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai perisai untuk mengelakkan serangan musuh atau lawan. Selain itu, silat seni gayong mempunyai kaitan dengan pembangunan sahsiah diri seseorang individu yang mana penerapan kerohanian banyak diterapkan. Hal ini bermaksud apabila seseorang individu mendalami silat seni gayong ini secara tidak langsung akan meningkatkan satu tahap kefahaman yang tinggi mengenai jati diri yang meliputi perubahan dari aspek mental, spriritual dan fizikal. Sebagai contoh, dengan adanya ilmu seni pertahanan diri ini, mental akan menjadi cepat bergerak dalam proses berfikir kerana semasa mempraktiskan silat seni gayong, otak akan berfikir dengan cepat untuk menggunakan teknik serang menyerang.

Melalui spiritual pula, keyakinan dalam diri seseorang itu perlu ada walaupun berada di mana- mana kerana semangat yang ada itu dapat meningkatkan ketrampilan personaliti diri seseorang individu. Manakala fizikal pula akan membantu persiapan pada luaran bagi membentuk satu kesihatan yang baik.

Kini di Malaysia telah wujud Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang mana telah melibatkan komuniti untuk menyertainya daripada pelbagai lapisan khususnya pelajar sekolah dan IPT.

“Seperti yang sedia maklum, UUM juga menyediakan silibus mata pelajaran kokurikulum yang menerapkan seni silat gayong dalam silibus tersebut. “PSSGM ditubuhkan di sini bukan hanya untuk memenuhi silibus kokurikulum bahkan untuk menambah kemahiran tambahan dalam diri seorang pelajar,” kata Encik Khairul Hisyam Mohd Ani, jurulatih silat seni gayong UUM.

PSSGM UUM telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam Kejohanan Silat Gayong Malaysia Rakan Waja Diri Inter-varsiti 2005 di UITM Kelantan. UUM mendapat naib johan kejohanan dengan merangkul empat emas,dua perak dan tiga gangsa pada 12 April 2005.

Pada mulanya, pasukan ini ditubuhkan secara adhoc oleh bekas-bekas pesilat gayong dari sekolah dan kurikulum gayong UUM. Memandangkan tiada persatuan silat seni gayong secara sah, justeru itu diharapkan agar satu PSSGM dapat ditubuhkan untuk membolehkan pesilat gayong ini menganggotai dan mengadakan aktiviti serta menyertai kejohanan tahunan pada masa akan datang. Akhirnya, pada 11 Oktober 2005 Persatuan Silat Seni Gayong telah diiktiraf penubuhannya di UUM.

Menurut Ismail Ibrahim, salah seorang jurulatih silat seni gayong UUM, silat seni gayong ini juga dapat meningkatkan pembangunan sahsiah diri pelajar kerana boleh membentuk disiplin, mengeratkan silaturahim, membina keyakinan diri dan memperoleh ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai PSSGM.

“Hal ini jelas dilihat melalui ejaan gayong itu sendiri di mana “ga” membawa makna genggam, ia menuntut pelajar untuk mematuhi janji setia yang dilafazkan pada awal penglibatan mereka dan ia juga mengajar pelajar untuk menjaga segala amanah yang telah diberikan dan tidak mensia-siakannya, “Alif” yang bermaksud angkat meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan, “ya” iaitu yakin kepada diri sendiri, “wau” bermaksud waras dalam membuat sebarang pertimbangan dan tidak menyalahgunakan ajaran yang diberikan dan “nga” ngeri di mana pelajar dituntut bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan terutamanya dalam konteks latihan dan persembahan dan ini akan memberikan kengerian kepada orang lain.

“Selain itu, para pelajar dapat belajar seni mempertahankan diri dengan lebih meluas jika mempunyai minat yang mendalam kerana ia akan memberikan kelebihan kepada para pelajar dalam membantu meningkatkan nilai sahsiah diri mereka. “Seperti yang kita tahu, jika seseorang itu mempunyai kemahiran tambahan seperti ini akan memberikan kebaikan kepada mereka pada masa akan datang contohnya dalam proses temuduga kerja, kelebihan sebegini di ambil kira,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment