Saturday, October 24, 2009

ANTARA BAHASA INGGERIS DAN MAHASISWA

Oleh : Surya Pradana, Ari Bangun Pramana & Diva Yowanda

Bahasa digunakan untuk berkomunikasi sama ada dalam bentuk pertuturan, penulisan atau pemikiran. Terdapat beratus-ratus bahasa yang dituturkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di dunia ini, namun Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang sering digunakan dalam perhubungan antarabangsa. Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dan bahasa hubungan antarabangsa, oleh itu penguasaan Bahasa Inggeris adalah amat penting kepada pelajar dalam menghadapi cabaran pada masa kini, sebagai bahasa antarabangsa, dan selain itu Bahasa Inggeris memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan seharian kita.

Menurut Pensyarah Bahasa Inggeris Universiti Utara Malaysia, Eny Haziany Bt Hamzah, “Bahasa Inggeris adalah bahasa globalisasi yang mana telah menjadi bahasa antarabangsa. “Dalam pembelajaran di Universiti Utara Malaysia kini mahasiswa mesti mempunyai kebolehan menggunakan Bahasa Inggeris, keberkesanan pembelajaran dengan Bahasa Inggeris di dalam kelas yang saya ajar mencapai 90%, supaya pembelajaran yang dilakukan lebih berkesan terhadap mahasiswa dengan membuat aktiviti seperti role play, acting, dan drama di dalam kelas,” tambahnya.

“Bagaimanapun para pelajar yang mahir dalam berbahasa Inggeris belum tentu mendapatkan masa depan yang cerah, sebab belajar Bahasa Inggeris suatu proses pembelajaran dari masa ke semasa, pelajar perlu meningkatkan kemampuan bukan sahaja melalui pemahaman tapi juga melalui kehidupan seharian,” katanya dalam satu temubual.

Sementara itu, Noryuslina (Pengurusan Teknologi, 6) berkata “pada masa kini mahasiswa hendaklah memiliki kemampuan berbahasa Inggeris, kerana ia dilihat sebagai bahasa yang membolehkan penduduk dunia berinteraksi secara mudah dan berkesan di era perkembangan pesat dan teknologi moden sekarang ini.“Ia menjadi sangat penting kerana globalisasi dan pengantarbangsaan telah mengubah struktur kerjaya, mempengaruhi pendidikan, dan mencabar bentuk kurikulum pendidikan kini. Dalam konteks ini, pengusaan Bahasa Inggeris menjadi salah-satu tarikan bagi seseorang graduan,” tambahnya.

Dominasi penggunaan Bahasa Inggeris kini merangkumi segenap aspek kehidupan kita, dari seawal kehidupan murid sekolah rendah sehinggalah memohon pekerjaan, baik di sektor awam atau swasta. Bagus Ahimsa Harun (Komunikasi, 5) pula berkata “pengajaran Bahasa Inggeris semestinya mula diajar sejak di sekolah rendah lagi, kerana keupayaan dalam menggunakan Bahasa Inggeris suatu kelebihan besar kepada pelajar, kebanyakan bahan rujukan didapat dalam Bahasa Inggeris. Kemahiran dalam berbahasa Inggeris memberikan seseorang peluang yang lebih luas dalam mendapatkan pekerjaan berbanding dengan pelajar yang hanya menguasai satu jenis bahasa sahaja.

“Bagi saya Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua setelah bahasa ibunda kita, terutamanya Bahasa Inggeris sangat penting dan berguna sebagai alat untuk memudahkan komunikasi antara individu yang menggunakan bahasa yang berlainan, bertujuan untuk memudahkan orang mempelajari budaya dan berkongsi pemikiran”, tambahnya.

Rio Shaesar Benprang (Multimedia, 6) berkata “Dalam dunia pendidikan pelajar mempelajari Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi secara efektif, memahami bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris serta untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Perkara-perkara ini tidak akan dapat dicapai tanpa penguasaan Bahasa Inggeris, pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdialog, berdebat dan memberi gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan,” kata Rio Shaesar Benprang yang turut bersetuju dengan Bagus Ahimsa Harun.

Penguasaan Bahasa Inggeris menjadi salah satu indikator graduan cekap berbahasa, berkomunikasi dan berhujah, kekuatan berfikir dan menyelesaikan masalah, kecerdasan emosi dan sifat kepimpinan. Usaha untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris tidak bermakna membelakangkan bahasa kebangsaan, tetapi lebih kepada memenuhi permintaan pasaran kerja terutama graduan universiti. Kita tidak boleh lari dari keperluan yang menjadi kemudahan asas kerana antara syarat-syarat kelayakan para graduan yang bekerja di sektor-sektor swasta mahupun awam memerlukan penguasaan dalam Bahasa Inggeris. Setiap individu dalam masyarakat perlu mengambil inisiatif yang lebih dan mencari masa yang sesuai untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris masing-masing.

No comments:

Post a Comment