Saturday, October 24, 2009

UUM KE ARAH MEMANTAPKAN KURSUS TITAS

Oleh : Mohamad Syafiq Sahap, Mohd Shaharum Daud & Nor’ Aidah Ghani


Bermula sesi 2006/2007, pelajar semester pertama yang mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM) diwajibkan mengikuti tutorial sebagai kaedah baru pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia 1 (TITAS).

Berikutan itu, TITAS yang merupakan salah satu kursus teras universiti telah melaksanakan sistem tutorial yang besar di mana pelajar perlu mengikutinya dan lulus kursus ini secara keseluruhannya sebagai syarat bergraduan.

Menariknya, UUM memberi kepercayaan kepada pelajar senior yang mengikuti syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Akademik (JHEA) untuk pelantikan sebagai fasilitator tutorial TITAS. Pada semester 2009/2010, didapati hampir 200 orang fasilitator telah dilantik untuk mengendalikan kelas tutorial tersebut.

Pensyarah TITAS, Profesor Madya Dr. Ismail bin Hj. Ishak berkata, pada asalnya idea untuk mewujudkan kaedah tutorial datangnya dari Naib Canselor Tan Sri Nordin Kardi di mana beliau melihat pembelajaran TITAS perlu kepada tutorial bagi memantapkan kursus TITAS di bawah pengajian umum.

“Selain bertujuan untuk memantapkan kursus, kita ingin memberikan kefahaman mendalam kepada pelajar terhadap sesuatu pembelajaran dan juga untuk mengimarahkan masjid di mana tutorial ini diadakan di masjid dari Subuh sehingga ke Isyak,” katanya.

Selain pelaksanaan kursus TITAS di dewan-dewan kuliah yang menempatkan sejumlah besar pelajar-pelajar kursus ini, sebahagian dari penilaiannya dibuat berdasarkan sistem kehadiran pelajar ke kelas tutorial TITAS yang telah ditetapkan oleh sistem JHEA UUM. JHEA juga telah menyelaraskan sistem tutorial TITAS ke dalam sistem jadual pelajar yang boleh diakses melalui portal pelajar itu sendiri.

Penyelaras tutorial TITAS, Hayati Jamali berkata, penyelarasan jadual tutorial pelajar mendapat kerjasama dari pusat komputer untuk menyelaraskan jadual ke dalam portal pelajar.

“JHEA telah mendapatkan kerjasama dengan pusat komputer untuk menyelaraskan jadual tutorial pelajar di mana pihak JHEA telah memberi kriteria-kriteria kepada pihak pusat komputer untuk menyelaraskan jadual tutorial pelajar.

“Antara kriteria-kriteria sewaktu penyelarasan jadual yang perlu dibuat oleh pusat komputer adalah untuk pelajar yang tinggal di Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Bank Rakyat dan DPP SME Bank mohon dikecualikan dari tutorial di sesi pagi,” katanya.

UUM yang menerima hampir 5000 orang pelajar baru bagi sesi 2009/2010 telah mewajibkan kesemua pelajar baru yang mendaftar kursus TITAS untuk mengikuti tutorial bagi kursus tersebut.

Apabila dilihat kepada kandungan modul tutorial TITAS UUM, antara objektif pelaksanaannya adalah­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­ untuk melahirkan pelajar yang berketrampilan dari segi kepimpinan dan komunikasi. Justeru itu, konsep tutorial dianggap mampu untuk melahirkan mahasiswa seperti objektif yang dinyatakan kerana pelaksanaannya memberi lebih ruang interaksi akademik antara fasilitator dan para pelajar.

Pelaksanaan kelas tutorial adalah hanya selama satu setengah jam bermula seawal enam pagi dan berakhir lebih kurang 8.30 malam di mana setiap pelajar telah ditetapkan sesi masing-masing sama ada di awal pagi, tengah hari, petang atau malam yang diadakan di dalam masjid dan di wakaf-wakaf yang terdapat di kawasan masjid. Pelajar-pelajar pula perlu menghadiri tutorial tersebut selama 10 minggu seperti yang telah ditetapkan oleh JHEA.

Sistem pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah tutorial adalah sangat berbeza di mana ianya berkonsepkan perbincangan pelajar bersama fasilitator terhadap setiap topik yang telah ditetapkan dan pelajar juga perlu melaksanakan tugasan yang diberikan oleh fasilitator.

Boleh dikatakan melalui pelaksanaan tutorial ini berupaya membentuk sahsiah pelajar di mana ia melatih diri pelajar lebih-lebih lagi yang mendapat sesi pagi untuk bangun seawal pagi, berjalan ke masjid dan memulakan pencarian ilmu sebelum ke kelas-kelas yang lain. Adapun konsep tutorial juga lebih kepada perbincangan di dalam kumpulan kecil di mana pelajar-pelajar berinteraksi bersama fasilitator masing-masing membincangkan setiap modul pembelajaran.

Kaedah ini juga memberi pendekatan yang berbeza kepada pelajar-pelajar di mana hubungan pelajar dengan fasilitator menjadi lebih rapat dan memudahkan perkongsian ilmu itu berjalan dengan lancar kerana berlakunya komunikasi interpersonal dua hala yang cepat dan berkesan berbanding komunikasi interpersonal pelajar dan pensyarah di dalam dewan kuliah yang lebih bersifat satu hala.

Pelaksanaan kaedah baru ini juga telah mendapat pelbagai reaksi sama ada positif atau negatif dari pengurusan, pensyarah dan juga pelajar-pelajar kursus ini.

Penolong Pegawai Tadbir HEA, Hayati Jamali berkata, pelaksanaan tutorial TITAS ini adalah sebagai satu cara pembangunan akademik bagi pelajar di samping boleh mengimarahkan masjid-masjid. Walau bagaimanapun, beliau berpendapat sistem penyelarasan tutorial perlu dipertingkatkan lagi lebih-lebih lagi kini ramai pelajar antarabangsa dan perlu ada penambahbaikan dari segi tenaga pengajar dan sebagainya.

Walaupun kaedah baru TITAS ini telah masuk tahun keempat pelaksanaannya, namun masih lagi terdapat masalah yang timbul dalam pengurusannya.

Profesor Madya Dr.Ismail bin Hj.Ishak dalam pertemuan dengannya berkata, tiada kajian dibuat tentang sejauh mana kefahaman pelajar tentang tutorial TITAS, tetapi matlamat untuk mengimarahkan masjid masih tidak tercapai.

“Tutorial yang bermula seawal 6 pagi, ramai fasilitator yang tidak bersedia untuk turun bersama pelajar-pelajar dan masalah lain yang timbul seperti tidak ada fasilitator, kenderaan dan sebagainya.

“Banyak kekangan dari segi masa dan kita tidak sempat untuk melatih fasilitator dari segi ilmu pengetahuan dan mereka tiada keyakinan diri. “Kita akan semak dan fikir balik kaedah baru untuk pendekatan yang berbeza di mana sudah ada dalam perancangan untuk dilaksanakan pada semester hadapan,” katanya ketika ditemui.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, UUM cuba membuat sesuatu yang baru dan ingin mendahului universiti-universiti lain dalam pengajaran TITAS di bawah pengajian umum. Manakala pelajar semester pertama, Ainul Fathiyyah Abdul Fatta, 19 dan Mahirah Saidah Mohd Yusof, 20 mempunyai pandangan tersendiri tentang perjalanan tutorial TITAS. Menurut Ainul Fathiyyah dari Program Perakaunan, pengajaran TITAS secara tutorial adalah bagus sekiranya fasilitator yang membimbing memainkan peranan dalam tutorial ini.

“Bagi Ain kalau fasilitator pandai memainkan peranan, maka seronoklah kelas tutorial itu. Tetapi masalah yang Ain hadapi sekarang ini adalah tentang perjalanan tutorial di awal pagi di mana pelajar mungkin tidak terlalu bersedia,” katanya ketika ditemu bual. Berlainan pula dengan pandangan Mahirah Saidah, pelajar dari Program Pengurusan Teknologi ini di mana beliau berpendapat kelas tutorial sebegini amat bagus kerana pelajar akan mempunyai ruang interaksi dengan fasilitator tentang sesuatu topik pembelajaran yang tidak difahami.

“Bagi saya kaedah tutorial ini sahaja yang mampu memberi peluang kepada saya untuk menambahkan kefahaman di samping mendapatkan tips-tips yang berguna dari fasilitator yang lebih berpengalaman dalam kursus ini,” katanya.

Walau apapun, pelaksanaan tutorial TITAS ini membuktikan bahawa UUM ke arah menjadi sebuah universiti pertama yang cemerlang dalam bidang akademiknya.

BERBINCANG...Pelaksanaan tutorial TITAS di wakaf masjid dikendalikan oleh fasilitator

BERKARISMA...Profesor Madya Dr. Ismail bin Hj. Ishak merupakan antara pensyarah TITAS yang terlibat di UUM


1 comment:

  1. uhu...

    tengs abg syapiq jadik fasi kte0wg!

    d0okan kte0wg sukses!

    ;D

    ReplyDelete