Saturday, October 24, 2009

PEMIMPIN TELUS MENJANA KECEMERLANGAN MAHASISWA

Oleh: Jalaluddin Baharin, Muahammad Mustaqim Muhyidin dan Mohd Afifi Ismail


Pemilihan bakal Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah tiba dan para calon mula menonjolkan kemahiran kepimpinan masing-masing bagi meraih undi. Para calon yang telah berjaya dipilih untuk menjadi wakil pelajar harus memasang niat yang telus dalam menjaga segala kebajikan mahasiswa.

Pemimpin bukan sekadar mempunyai sijil, ijazah dan sarjana, tetapi merangkumi lebih daripada itu kerana pengikut yang bijak merasakan kewibawaan kepimpinan amat penting dalam menempatkan diri di gelanggang kepimpinan. Sifat telus merujuk kepada asas keilmuan yang baik, memiliki contoh akhlak terpuji, keupayaan menawarkan khidmat yang terbaik dan mampu berfikir dan mencari pendekatan terhadap masalah kepimpinan dan kepengikutan dengan bijaksana.

Salah satu aspek penting yang pernah disebutkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ialah konsep Towering Personality atau perwatakan terbilang dan juga dikenali sebagai Personaliti Unggul yang merujuk kepada pemimpin atau individu yang mempunyai sifat-sifat dan perwatakan yang baik, disenangi, dihormati, disegani, berilmu, berakhlak mulia dan sentiasa menjadi rujukan kepada orang lain. Kepimpinan yang telus dan berkesan akan membawa kepada perlaksanaan matlamat sesuatu organisasi atau kumpulan yang harus ditonjolkan oleh pemimpin mahasiswa dalam mengatur dan melaksanakan tujuan masing-masing.

Situasi pada hari ini melihat kepimpinan sebagai suatu profesion dan bukannya tanggungjawab. Ini menyebabkan semakin ramai pula orang yang terkeliru dengan prinsip dan matlamat kepemimpinan yang telah diperkenalkan, malah kepemimpinan yang sepatutnya dilandasi dengan prinsip perjuangan dan idealisme sudah mula diperjudikan oleh mereka yang sanggup menggadaikan prinsip, semata-mata untuk membolehkan diri di tabal dan dihormati oleh mahasiswa.

Bekas MPP UUM, Ahmad Zhafir bin Mairof berkata, “dari perspektif Islam pula keperluan manusia kepada pemimpin adalah sebahagian daripada fitrah manusia itu sendiri iaitu dari awal kejadian manusia lagi, Allah SWT telah memilih manusia-manusia tertentu dalam kalangan mereka sendiri untuk diangkat sebagai pemimpin dalam bentuk Rasul dan Nabi. Situasi ini menuntut kita untuk melihat kepemimpinan daripada perspektif yang sebenar. Harga sebuah kepemimpinan tidak boleh digadaikan semata-mata untuk membolehkan seseorang mengecap nikmat dan kepentingan diri sendiri,” katanya.

Kepimpinan dalam konteks masa kini menuntut kebijaksanaan serta keupayaan yang dinamik untuk mengolah penyelesaian kepada permasalahan cabaran globalisasi yang semakin pesat masa kini. Kepimpinan yang telus dan berkesan akan membawa kepada perlaksanaan matlamat sesuatu organisasi atau kumpulan yang harus ditonjolkan oleh pemimpin dalam membentuk sebuah kepimpinan yang berkesan semasa mengemudi mahasiswa ke arah kecemerlangan.

Justeru, dalam mencari kekuatan untuk menghadapi realiti hari ini yang semakin mencabar, tentunya menuntut kita untuk benar-benar menghayati prinsip kepemimpinan yang berasaskan landasan etika, moral dan agama. Prinsip inilah yang harus disemai dan disuburkan dalam diri para pemimpin yang dipilih untuk memberikan kekuatan dan kepercayaan baru kepada mahasiswa.

Mahasiswa lebih suka dipimpin oleh orang-orang yang dirasakan komited dengan objektif mereka menerusi kata-kata yang diucapkan dan tindakan yang ditunjukkan. Reputasi atau harga diri seseorang ketua atau pemimpin termasuk rasa hormat yang diberikan oleh kumpulan berdasarkan nilai moralnya, reputasi profesional serta penghormatan. Kepentingan yang diletakkan pada rasa hormat, kesopanan dan harmoni dicerminkan dalam kriteria untuk menilai mereka dalam jawatan kepimpinan.

Ketua yang ideal ialah ketua yang bukan sahaja cekap tetapi juga mempunyai kebolehan untuk memahami orang lain dan menunjukkan rasa mendalami perasaan dan sensitiviti orang lain. Kita boleh meneladani sifat kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W sebagai satu contoh yang ideal dan praktikal yang semestinya diikuti oleh umat manusia kerana baginda diutuskan untuk membimbing seluruh manusia yang tidak dibatasi oleh sempadan geografi atau peta, serta tidak dikhususkan kepada satu-satu bangsa, kebangsaan dan negara.
Dengan demikian kepimpinan Baginda Rasulullah itu adalah bersifat sejagat dan firman Allah dalam Al-Quran surah Al Anbiya, ayat 107 yang maksudnya : ‘Dan tidaklah Kami (Allah) utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta.

Sesungguhnya, mahasiswa yang cemerlang lahir daripada asuhan, amalan, pemikiran, daya saing dan perpaduan yang mantap, bijak serta erat sesama mereka yang berbilang kaum dan kepercayaan beragama di Malaysia. Seiring dengan kekuatan ilmu, bermula dalam diri individu sendiri sebagai pemimpin dalam pelbagai aspek terhadap keluarga, organisasi, masyarakat dan negara perlu dilengkapi dengan nilai kerohanian yang tinggi seiring dengan kekuatan minda yang luhur. Marilah kita menghayati bersamanya ke arah pembangunan universiti yang cemerlang.

BERKALIBER...Ahmad Zhafir bin Mairof merupakan bekas MPP UUM

No comments:

Post a Comment