Saturday, October 24, 2009

DARUL MUNAWARAH BAWA SINAR BARU KEPADA PENAGIH

Oleh: Mohd Najib, Mohd Fitri & Mohd Shahiran


Adakah tiada sinar bagi penagih tegar untuk meneruskan kehidupan sebagai insan biasa? Penubuhan Darul Munawarah merupakan jawapan kepada persoalan yang timbul.

Persoalan ini timbul kerana masalah penyalahgunaan dan penagihan najis dadah menjadi satu masalah bagi negara yang tiada penghujungnya. Gejala negatif ini menjadi masalah utama negara khususnya dan dunia amnya kerana setiap tindakan yang diambil sebagai langkah penyelesaiannya menemui jalan buntu. Sejak puluhan tahun, kerajaan Malaysia mengisytiharkan bahan itu sebagai musuh nombor satu negara dan melabelnya sebagai najis memandangkan kesannya yang sangat teruk kepada penagih sehingga boleh membawa maut.

Beralamat di No.1, Depan Perumahan Kakitangan UUM, 06010, Sintok, Kedah terdapat sebuah pusat pemulihan dadah serta pembangunan sahsiah dan jati diri. Pusat ini bukan sahaja memulihkan penagih daripada terus mengambil dadah malah membentuk peribadi seseorang pelatih itu agar menjadi insan yang berakhlak serta memiliki sahsiah diri yang terpuji.

Menurut Tuan Guru Haji Zainol Abidin Harun yang merupakan pengasas Darul Munawarah, penubuhan pusat pemulihan ini bertujuan untuk memberi sinar baru bagi pelatih-pelatih yang ingin kembali ke pangkal jalan dan meneruskan kehidupan seperti insan normal yang lain. Pusat ini bukan sahaja bagi pelatih yang mengalami masalah penagihan dadah tetapi juga mereka yang mempunyai masalah akhlak yang buruk.

Pusat ini mula ditubuhkan pada tahun 1996 dengan hanya bermodalkan tenaga dan kesungguhan pengasas Darul Munawarah yang lebih mesra dipanggil Tok Ayah dikalangan pelatih pusat ini. Asas penubuhan pusat ini adalah atas kesedaran Tok Ayah untuk membantu bangsa Melayu yang semakin hanyut dengan arus kehidupan yang jauh terpesong daripada ajaran Islam sebenar dan terlibat dengan najis dadah ini.

Menurutnya lagi, pada awal penubuhannya terdapat masalah yang terpaksa di hadapi seperti kekurangan modal kewangan, kawasan yang terhad serta tenaga kerja untuk menguruskan pusat ini. Sehingga kini masih tiada bantuan daripada mana-mana pihak walaupun sudah acap kali permohonan dibuat.

Darul Munawarah menggabungkan dua kaedah perubatan dalam merawat pelatih iaitu kaedah perubatan Islam dan moden. Tempoh rawatan di sini mengambil masa selama empat bulan dan rawatan lanjutan selama dua bulan bergantung kepada keadaan individu tersebut. Pendekatan psikologi juga digunakan bagi merawat pelatih yang mengalami gangguan mental dan emosi.

Pusat ini menekankan pembangunan rohani dan jasmani pelatih di situ. Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang proses pemulihan dan rawatan adalah seperti berkebun, menternak ikan, bersilat serta gotong-rotong membersihkan kawasan kediaman mereka. Aktiviti ini dilakukan untuk mengembalikan kecergasan tubuh badan mereka dan bagi pengisian rohani mereka pula, aktiviti seperti solat lima waktu secara berjemaah, tazkirah, tadarus Al-Quran dan mengamalkan zikir-zikir tertentu.

Penekanan juga diberikan dari aspek akidah, syariat dan akhlak yang merupakan rukun agama yang menjadi perkara asas kepada pembentukan sahsiah diri yang terpuji serta memiliki peribadi yang unggul.

“Peratusan pelatih yang pulih dan tidak kembali menagih adalah sebanyak 70% sepanjang 14 tahun pusat ini beroperasi” kata Sharifudin Mat Saad, 38 yang merupakan salah seorang petugas Darul Munawarah.

“Terdapat segelintir pelatih yang cuba melarikan diri dari pusat ini tetapi tidak berjaya dan telah dihantar semula ke pusat pemulihan ini, “ tambah salah seorang pelatih, sepanjang proses pemulihan di sini beliau merasakan terdapat perubahan dalam diri dan telah menginsafi kesilapan yang lalu. Beliau juga pernah ditahan sebanyak empat kali di pusat pemulihan dadah dan lapan kali meringkuk didalam penjara. Pengalaman ini telah memberi pengajaran dan kesedaran kepada beliau untuk kembali ke pangkal jalan.

Perancangan Darul Munawarah di masa hadapan adalah bagi membuka cawangan baru di Pontian, Johor. Perancangan ini mendapat sambutan dan galakan yang memberangsangkan daripada pihak kerajaan serta masyarakat di sana. Penubuhan cawangan baru ini diharap dapat memulihkan lebih ramai penagih yang ingin memulakan kehidupan yang baru.

Harapan Tok Ayah agar hasrat murni dapat membuka mata pihak-pihak yang berkenaan supaya dapat menyalurkan bantuan samada dari segi kewangan dan perubatan. Tambahnya lagi, generasi masa hadapan haruslah sedar tentang bahaya dadah dan berusaha untuk tidak terjebak dalam kancah najis dadah.

TENANG...Penulis bergambar kenangan di hadapan Darul Munawarah yang menjadi pusat pemulihan dadah

SERIUS...Pengasas Darul Munawarah Tuan Guru Haji Zainol Abidin Harun atau lebih di kenali sebagai Tok Ayah di kalangan pelatih

7 comments:

  1. Salam...boleh berikan no telefon haji zainol x?

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum apakah syarat dan bayaran untok masok kesini

      Delete
  3. assalamualaikum ustaz berapa bayaran yuran untuk masuk ke pusat rawatan ni

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum ustaz mcm mn nk msk kesini dan byran? Dan juga nk bawak pesakit yg dlm keadaan agak mental dan jiwa tgh tak berapa elok.sbb pesakit tak akan mahu di ajak pergi dan sekarang masih lagi di hsptal bahagia akibat dadah syabu yg berlebihan

    ReplyDelete