Saturday, October 24, 2009

KEUNIKAN KHASIAT GAMAT LANGKAWI

Oleh : Suria Ningsi, Nadrah & Nur Hidayahtul Iqmah.

Gamat ialah sejenis hidupan laut yang telah digunakan dalam bidang perubatan sejak turun temurun sebagai ubat penyakit kulit, menyembuhkan kesan terbakar pada kulit dan gigitan serangga. Ini terbukti secara saintifik di mana gamat berupaya menyembuhkan luka dan berdaya tahan sakit.

Menurut Asia Pacific Journal of Pharmacology (1994), gamat ialah haiwan laut yang tergolong dalam kumpulan Echinoderma yang boleh didapati di laut cetek hingga laut dalam. Struktur badannya ringkas dan kandungan airnya tinggi disamping kemujarabannya yang terdapat pada cairan ini mudah diekstrak. Terdapat sekitar 2000 spesies gamat wujud di seluruh pelusuk dunia, namun hanya terdapat kira-kira 40 spesies gamat yang dikenalpasti di perairan Malaysia setakat ini.

Badan gamat mengandungi tisu gelatin dengan ciri-ciri yang unik untuk mengawal keapungannya bagi memudahkan ia hidup di dasar laut atau terapung untuk bertukar ke lokasi yang baru dengan penggunaan tenaga yang minimum. Tubuhnya berbentuk silinder dengan kulit yang licin dan struktur seakan ‘kaki’ berbentuk tiub serta kebanyakan saiz gamat berukuran 20 cm hingga 25 cm panjang.

Gamat dikenali haiwan detritus iaitu makan secara menyapu pasir ke dalam mulut dan hanya memakan plankton serta bahan organik yang telah reput yang dijumpai di dalam laut. Dari segi pembiakan pula, gamat boleh membiak secara seksual dengan melepaskan sperma dan ovum ke dalam air di mana ia boleh menghasilkan beribu-ribu gamat bergantung kepada keadaan persekitaran. Bagi melindungi diri dari diserang, gamat akan memuntahkan organ dalaman dan regenerasi dilakukan lebih kurang sebulan.

Sifat gamat yang unik iaitu aktif pada waktu malam dan pasif pada waktu siang di bawah batu karang merupakan antara keistimewaan spesies ini. Selain itu, gamat yang dilukakan mampu sembuh dalam masa singkat di mana sekiranya badan gamat dipotong dua, ia akan membentuk dua gamat yang berasingan dan kekal hidup.

Menurut pengusaha ubat tradisional di Pulau Langkawi yang terkenal dengan legenda Mahsuri serta menjadi tumpuan ramai pelancong itu, bekalan gamat sekarang ini diperolehi dari negara luar seperti Thailand kerana bekalan di dalam negeri sudah tidak diperolehi sejak 10 tahun lepas.

Pengurus Warisan Salju Enterprise, Nor Milawati Noor Muhamad berkata, beliau telah mewarisi bidang penghasilan ubat-ubatan berasaskan gamat daripada datuknya yang merupakan rakyat Pakistan dan berhijrah ke Malaysia suatu ketika dulu.

“Dahulu datuk saya menjalankan perniagaan gamat secara kecil-kecilan dengan hanya menjual minyak-minyak urat di samping herba lain.

“Kini, perniagaan Warisan Salju Enterprise telah berkembang maju dengan produk lain seperti produk kecantikan, air, bam di samping mengekalkan minyak gamat yang menjadi warisan turun temurun keluarga ini,” katanya.

Kandungan kolagen, chondrotin, glucosamine (GAGS), mineral, omega 3 dan 6 yang tinggi juga merupakan khasiat gamat bagi merawat luka luaran dan dalaman, awet muda serta mengatasi masalah kekeringan pada usus. Manakala, kandungan protein dalam bentuk asid-asid amino seperti arginina, sistina dan histina adalah amat diperlukan untuk badan kita kerana ia merupakan asas kepada pembentukan deosiribonuekleik asid (DNA).

Gamat juga mempunyai khasiat yang tinggi tetapi tidak mengandungi kolestrol di mana ia mengandungi lebih daripada 50 jenis nutrien seperti protein, lemak, gula, vitamin B1, B2, asid nikotinik, kalsium fosfat, zat besi, iodin, vanadium, zink, kalium, kromium, asid benzoid, kondrotin sulfat dan asid mukopolisakarida.

UNIK...Ibu gamat yang dijemur kering sebelum diproses menjadi ubat gamat

No comments:

Post a Comment