Saturday, October 24, 2009

KONSEP GEOPARK PERAGA PEMBANGUNAN LESTARI DI LANGKAWI

Oleh: Nurul Aida Harun, Nuradznida Hanim Ismail & Nor Saleha Abd Razak


Adakah anda tahu apa itu Geopark? Geopark ialah satu konsep pembangunan yang memberikan perhatian kepada keseimbangan tiga komponen utama iaitu kepentingan pemuliharaan sumber asli, pembangunan infrastruktur untuk pelancongan dan aktiviti yang menguntungkan masyarakat setempat.

Konsep ekopelancongan yang menepati ciri-ciri kelestarian alam sekitar mula dipelopori kira-kira 20 tahun lalu dengan tumpuan lebih diberikan kepada penerokaan biologi flora dan fauna. Namun sejak kebelakangan ini, konsep ekopelancongan semakin berkembang dengan pelancongan geopark di mana ia memberi tumpuan kepada sumber warisan penting bercirikan landskap dan geologi batu-batan.

Menurut Azman Bin Umar, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), "tiada yang lebih utama dan lebih penting bagi Langkawi sekarang selain LANGKAWI GEOPARK. Agenda ini akan disusulkan secara agresif untuk dipromosikan dalam setiap peluang di dalam dan luar negara. Langkawi Geopark akan menjadi contoh terbaik di dunia kepada semua geopark yang lain".

Konsep ekopelancongan ini diperkenalkan menerusi salah satu unit di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Bahagian Ekologi dan Sains Bumi pada tahun 1999 sebelum terbentuknya jaringan geopark global pada tahun 2004 membabitkan kerjasama lebih daripada 20 negara.

Dalam usaha mempromosikannya, Malaysia turut memanfaatkan pengiktirafan UNESCO ke atas Langkawi sebagai Taman Geopark pertama di Asia Tenggara. Pengiktirafan yang diberikan sekaligus menjadikan pulau itu sebagai tarikan baru pelancong yang ingin mengenali sejarah fosil dan batu-batan warisan yang tinggi nilainya.

Hakikatnya, konsep ekopelancongan geopark ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila tahun lepas Langkawi menerima kehadiran pelancong mencecah sehingga 2.3 juta orang berbanding kurang dua juta orang seperti tahun-tahun sebelumnya.

Geopark berbeza dengan Tapak Warisan Dunia di mana ia bukan saja memberikan tumpuan kepada keperluan pemuliharaan warisan geologi dan landskap berkepentingan antarabangsa, malah geopark turut memberikan perhatian serius mengenai pembangunan sosioekonomi komuniti tempatan yang menjadi khalifah kepada warisan itu.

Perhatian utama diberikan kepada pemuliharaan warisan secara integrasi. Walaupun tumpuan diberikan kepada pemuliharaan warisan geologi dan landskap, kepentingan warisan kepelbagaian biologi dan budaya perlu diberikan penekanan yang sama pentingnya. Geopark juga memberikan perhatian khusus terhadap pembabitan dan peluang komuniti setempat mengambil peluang dalam setiap aktiviti pembangunan yang disediakan.

Berbeza dengan kebanyakan kawasan pemuliharaan sedia ada, suatu geopark turut membabitkan kawasan penempatan, pertanian dan industri yang mana aktiviti komuniti setempat berinteraksi dengan kawasan pemuliharaan adalah sebahagian daripada geopark. Lebih penting lagi, komuniti setempat boleh diberikan tanggunjawab dan terbabit secara aktif dalam pemuliharaan warisan semula jadi dan budaya.

Aktiviti geopark juga memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan sumber pelancongan di kawasan yang kurang membangun. Sumber warisan alam semulajadi dan budaya boleh dijadikan asas untuk mengembangkan aktiviti pelancongan bersifat lestari iaitu pelancongan yang memberikan perhatian kepada penggunaan sumber tanpa memusnahkannya sambil memulihara alam sekitar.

Warisan geopark dan landskap kini sudah berjaya dibangunkan sebagai sumber pelancongan baru yang dikenali sebagai ‘geopelancongan’. Warisan alam, geologi, biologi, budaya dan tradisi setempat kini dapat dilihat sebagai sumber penting yang boleh dibangunkan bagi memperkenalkan pendekatan pelancongan yang lebih kreatif dalam konteks ‘pelancongan berasaskan ilmu’.

Langkawi juga terkenal dengan kepelbagaian flora dan faunanya iaitu lebih 50 peratus permukaan buminya diliputi rimba hujan tropika yang masih terpelihara di bawah naungan Hutan Simpan Kekal. Hutan Tropika di kawasan Gunung Matchinchang umpamanya, boleh dianggap hutan tropika tertua di dunia kerana ia masih belum terganggu dan berada pada kawasan batuan tertua di Asia Tenggara.

Menurut Samsiah Ali, 25, salah seorang pelancong yang mengunjungi Pulau Langkawi, keistimewaan Langkawi yang paling ketara ialah keunikan landskapnya. Landskap batu kapur yang membentuk bukit-bukau dan pulau-pulau kecil di kawasan Kulim dan Pulau Dayang Bunting adalah pemandangan luar biasa dan jarang dijumpai di tempat lain. Landskap batu kapur tropika atau lazimnya dikenali sebagai ‘topografi kars’ mempamerkan bukit-bukit batuan bertebing curam dengan puncak bergerutu.

Selain itu, aktiviti komuniti tempatan yang dianuti turun-temurun terutama sekali sebagai nelayan dan petani membolehkan Langkawi dilihat sebagai pulau yang kaya dengan warisan tradisi setempat. Geologi, landskap, kepelbagaian biologi, legenda dan tradisi setempat adalah komponen utama geopark dan sekiranya digembleng secara terintegrasi dapat menjadikan ia sumber tarikan pelancong dan sumber kekayaan komuniti tempatan.

Geopark Global Langkawi adalah pengiktirafan ‘UNESCO’ kepada wilayah yang sangat istimewa. Ia adalah ‘jenama berkualiti antarabangsa’ yang boleh menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan terunggul sekaligus menyokong konsep kelestarian sebagai suatu aspirasi baru pelancongan untuk masa depan.

MENARIK...Antara tempat menarik tumpuan pelancong di Langkawi termasuklah Pulau Dayang Bunting, Pulau Payar dan Air Terjun Telaga Tujuh

No comments:

Post a Comment