Saturday, October 24, 2009

KOPI KAMPUNG ASLI

Oleh: Nurul Asikin, Noor Adilla, Ku Noraini & Siti Hajar Aishah


Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mampu meningkatkan pendapatan masyarakat terutamanya masyarakat luar bandar yang dahulunya hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan tetapi kini perniagaan tersebut telah berjaya dikomersialkan. Sejajar dengan penubuhan IKS juga, pembangunan IKS berasaskan pertanian di Daerah Sik, Kedah telah dirancang untuk dijadikan peneraju kepada IKS asas tani di daerah tersebut.

Selaras dengan kenyataan di atas, pengusaha kecil-kecilan ini telah berjaya memasarkan produk masing-masing termasuklah Pak Mat yang mengusahakan Kopi Kampung Asli di Kampung Belantik. Pak Mat atau nama sebenarnya Mohd Sabiah Kadir, 58 bersama isterinya Kaedah Ahmad, 54 ialah antara pengusaha kopi yang berjaya di kampung ini.

Perusahaan Kopi Kampung Asli ini merupakan antara perusahaan yang mendapat sambutan baik, kerana pelanggannya bukan sahaja daripada kalangan masyarakat kampung sekitar, malahan terdapat juga pelanggan dari luar yang datang membelinya.

Kopi Kampung Asli yang dihasilkan oleh Pak Mat ini hanya menggunakan biji kopi asli dan gula tanpa bahan-bahan pengawet yang merbahaya. Perusahaan yang telah dijalankan oleh pasangan ini merupakan perusahaan turun-temurun sejak tahun 1981 sehingga ke hari ini.

Jika dahulu, perusahaan kopi tersebut dijalankan secara kecil-kecilan sahaja, namun kini ianya telah berubah dan berkembang sehingga mereka mampu menghasilkan kira-kira 200 kg serbuk kopi yang telah siap diproses pada setiap bulan.

Dahulunya, proses penghasilan kopi ini menggunakan peralatan tradisional seperti lesung hindik (lesung kaki), lesung tangan, dan lesung kisar. Kini mereka telah melangkah setapak ke hadapan dengan penggunaan teknologi baru iaitu mesin pengisar kopi yang berharga kira-kira RM 1500 bagi membantu mempercepatkan serta meningkatkan hasil keluaran.

Menurut Pak Mat, beliau tidak memasarkan produk kopinya secara terus ke luar negeri sebaliknya hanya pelanggan yang mengetahui tentang kewujudan produk ini sahaja yang akan datang terus ke rumah untuk mendapatkan kopi beliau.

“Kami tidak pasarkan kopi ini ke luar kerana tiada promosi, jadi hanya orang kampung yang tahu sahaja yang akan datang untuk membelinya, dan terdapat juga orang luar yang menjadi pelanggan”. Justeru itu, kopi ini boleh dikategorikan sebagai kopi kampung asli kerana ia dihasilkan tanpa bahan campuran lain seperti gandum, arang, kulit kelapa, nasi kering dan sebagainya.

Bagi menjaga kualiti dan mutu kopi yang dihasilkan, Pak Mat menggunakan dua jenis biji kopi, iaitu robusta dan liberica yang diimport daripada Indonesia serta pokok kopi yang ditanamnya sendiri. Kopi Robusta merupakan keturunan beberapa spesies kopi terutama Coffea canephora yang tumbuh subur pada ketinggian 400 hingga 700 meter, manakala suhunya pula ialah antara 21 hingga 24° C. Kopi Liberica pula adalah sejenis kopi yang berasal dari Liberia, Afrika Barat yang mencecah ketinggian sehingga 9 meter. Kopi Kampung Asli yang dihasilkan oleh Pak Mat menjadi sebutan dan kegemaran masyarakat di kampung tersebut.

TEKNOLOGI BARU...Pengusaha Kopi Kampung Asli yang lebih di kenali sebagai Pak Mat sedang menggunakan mesin pengisar kopi di rumahnya

POKOK KOPI...Antara pokok kopi yang ditanam sendiri oleh Pak Mat di sekitar rumahnya

No comments:

Post a Comment