Saturday, October 24, 2009

PROJEK TERNAKAN KAMBING BOER MEMBANGUN SUMBER EKONOMI MASYARAKAT PEKEBUN KECIL SINTOK.

Oleh: Afiq Afendi Mohd Zaman, Mohd Nazri Yusof & Mohd Farid Mohd Rani

Dalam membimbing dan membantu masyarakat pekebun kecil ke arah peningkatan ekonomi keluarga, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah mengadakan perancangan terperinci bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat pekebun kecil. Projek ternakan kambing Boer merupakan salah satu projek pembangunan ekonomi yang berbentuk komersial yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak RISDA di Tanjung Genting Sintok, Kedah bagi membangunkan sumber ekonomi pekebun kecil.

Kambing Boer berasal dari Afrika Selatan dan ia terkenal sebagai baka kambing daging yang terbaik di dunia. Baka ini dikenali dengan kadar penambahan berat yang cepat, otot yang besar dan kadar kelahiran yang tinggi kerana selalu melahirkan anak kembar.

Pembiakan kambing kacukan Boer yang pada awalnya dimulakan dengan 10 kandang kini telah meningkat kepada 20 kandang. Setiap kandang dimuatkan antara 120 hingga 130 ekor kambing dan sehingga kini jumlah kesemua kambing yang ada di ladang tersebut adalah melebihi 2500 ekor.

Satu jumlah yang cukup banyak jika hendak dibandingkan dengan jumlah di awal penubuhan ladang di mana pada waktu itu jumlah kambing hanyalah 200 ekor sahaja. Selain membantu masyarakat pekebun kecil ke arah peningkatan ekonomi, matlamat utama penubuhan ladang ternakan kambing ini adalah untuk mengeluarkan dan membekalkan baka kambing Boer pada harga yang lebih rendah berbanding di import.

Dalam jangka masa panjang penubuhan ladang ternakan kambing ini juga akan menyumbang kepada perkembangan industri ternakan negara melalui peningkatan pengeluaran makanan. Ternakan kambing Boer yang diusahakan oleh pekebun kecil RISDA di kawasan ini bukan setakat memberikan pendapatan menerusi jualan daging, malah najisnya juga menjanjikan pulangan yang lebih lumayan kepada pengusaha.

Najis kambing mendapat tawaran yang tinggi di pasaran dan sesuai digunakan sebagai baja organik kerana ia mampu meningkatkan hasil pertanian. Menurut penyelia ladang, Rahim Jusoh, projek ternakan kambing Boer itu dilaksanakan menerusi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang bertujuan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan pesertanya iaitu masyarakat pekebun kecil melalui ternakan kambing Boer.

“Harga pasaran getah yang tidak stabil telah menyebabkan pendapatan pekebun kecil getah tidak menentu dan kesannya ramai pekebun kecil hidup susah. “Berikutan dengan itu, bagi menangani masalah pekebun kecil ini pihak RISDA telah memperkenalan program AET bagi mempelbagaikan kegiatan ekonomi pekebun kecil seterusnya membantu meningkatkan sumber pendapatan mereka,” kata Rahim.

Dengan adanya ladang kambing ini bukan sahaja peserta malah pekerja ladang ternakan kambing yang kesemuanya berjumlah 16 orang juga mendapat manfaat dengan mendapat sumber pendapatan yang lebih. Daripada jumlah tersebut seramai 14 orang adalah penduduk tempatan manakala selebihnya ialah warga asing daripada Indonesia.

Rata-rata pekerja terutamanya penduduk tempatan melahirkan rasa syukur kerana dengan adanya ladang ternakan ini sumber pendapatan mereka telah bertambah. “Apabila projek ternakan ini bermula, saya sangat bersyukur kepada Allah dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak RISDA kerana projek ini telah memberi sumber pendapatan yang lebih kepada saya dan kawan-kawan untuk menyara keluarga,” kata Isa Saad, 36, salah seorang daripada pekerja ladang tersebut.

“Sekarang saya sudah dapat menyediakan semua kelengkapan asas anak-anak serta dapat membuat sedikit simpanan untuk mereka,” katanya ketika ditemui di ladang. Isa adalah salah seorang penduduk di kawasan Felda Bukit Tangga, yang sudah dua tahun bekerja di ladang ternakan kambing tersebut mengakui hidupnya sebagai seorang penoreh suatu masa dahulu sangat susah jika hendak dibandingkan dengan masa sekarang. Pada masa ini kehidupannya boleh dikatakan sedikit selesa dengan adanya ladang kambing yang diusahakan sekarang.

Menurut penyelia ladang, secara materialnya projek ternakan kambing Boer yang dijalankan oleh RISDA di Tanjung Genting, Sintok, dilihat dapat membangunkan sumber ekonomi penduduk tempatan khususnya pekebun kecil getah. Namun beliau menegaskan, tidak semua pekebun kecil mempunyai sumber pendapatan yang stabil kerana tidak semua yang terlibat dalam projek tersebut baik sebagai pengusaha ataupun sebagai pekerja di ladang ternakan. Masih ramai lagi pekebun kecil yang berada di bawah paras kemiskinan dan beliau berharap projek ternakan kambing Boer ini dapat diperluaskan lagi di semua tempat bagi membantu penduduk miskin.

KAMBING BOER...Projek ternakan kambing Boer membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat pekebun kecil





No comments:

Post a Comment