Saturday, October 24, 2009

PENGHAYATAN AL-QURAN DALAM DIRI REMAJA

Oleh: Fazilah Roslan, Zarifah Harith dan Karmilah Abd Wahab.

Remaja masa kini semakin menjauhi Al-Quran malah lebih rela menghambakan diri mereka dengan dunia hiburan yang ternyata melalaikan minda semata-mata. Masalah remaja kini bermula apabila mereka begitu mudah mengambil sikap memulaukan Al-Quran, iaitu tidak membacanya, jika dulu, waktu maghrib kedengaran bacaan Al-Quran, sayup-sayup dari rumah tetapi kini yang kedengaran adalah suara daripada televisyen dan radio dan bukan suara alunan ayat-ayat suci Al-Quran.

Minda remaja kini telah lama dijajah kerana selalu diterapkan dengan ilmu duniawi semata-mata. Mengapakah ianya berlaku? Salah satu sebab mengapa ianya berlaku adalah kerana kurangnya penghayatan mereka terhadap Al-Quran. Al-Quran ialah sebuah kitab suci bagi umat Islam. Ianya diturunkan kepada Rasulullah S.A.W melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. dan disampaikan secara berperingkat-peringkat.

Jika dilihat Al-Quran pada maksudnya adalah bacaan atau himpunan yang mana di dalamnya terdapat pelbagai perkara berkaitan urusan seharian melibatkan soal tauhid, ibadat, jenayah, munakahat, kenegaraan, muamalat, serta di dalamnya juga terungkai persoalan Sains dan Teknologi. Ini bermaksud segala ilmu pengetahuan terdapat di dalam Al-Quran itu sendiri.

Namun kini, masihkah ada lagi tradisi memuliakan Al-Quran di dalam diri remaja? Golongan remaja semakin melupakan budaya memuliakan Al-Quran kerana mereka tidak diajar untuk membudayakan Al-Quran itu sendiri sejak kecil. Peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka untuk mengenali Al-Quran bagi mengisi ruang rohani mereka agar tidak terjebak dengan aktiviti yang mendorong mereka ke kancah maksiat.

Dengan adanya pengetahuan Al-Quran di dalam diri mereka, sekurang-kurangnya ia akan menjadi penyelamat jika mereka terkandas di kemudian hari. Antara salah satu cara membudayakan Al-Quran adalah dengan memberi sepenuh penghayatan melalui program nuzul Al-Quran. Dengan memahami konsep nuzul Al-Quran itu sendiri yang mana jika mengikut rentetan peristiwanya adalah Al-Quran itu diturunkan secara berperingkat dan secara beransur-ansur sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W. kita dapat menghafal ayat-ayat Al-Quran itu serta dapat dicatat serta dikumpulkan oleh para sahabat dan disempurnakan menjadi sebuah kitab panduan kepada umat Islam sehingga ke hari ini.

Remaja sepatutnya mengambil iktibar di atas peristiwa tersebut kerana ia adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad S.A.W. dan memberi makna yang terlalu besar kepada umat Islam lewat hari ini. Apa yang dikatakan dengan mengambil iktibar di sini adalah Al-Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit supaya ianya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hambanya. Sekiranya Al-Quran itu di turunkan sekaligus, sudah tentu ia akan menyusahkan dan memberatkan, baik dari segi pemahaman, hafalan, dan pelaksanaannya dalam kehidupan. Remaja juga perlu faham mengapa ianya direncanakan secara beransur-ansur. Bukan mudah untuk mendidik masyarakat secara terus dan jalan yang paling mudah adalah dengan sedikit demi sedikit. Ini akan memudahkan mereka untuk memahami Al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka.

Oleh itu, mereka dapat mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara beransur-ansur. Oleh itu, sedikit demi sedikit ia dapat dihapuskan. Namun, masih ada lagi mentaliti remaja sekarang berfikiran bahawa, mereka yang mempraktikkan ajaran Al-Quran itu akan dipandang serong dan ketinggalan zaman. Contohnya dalam isu penutupan aurat bagi remaja wanita. Hal ini sangat mendukacitakan kerana remaja ini tidak sedar bahawa ajaran Al-Quran itu sendiri mewajibkan kita menutup aurat sejak baligh lagi.

Minda remaja perlu diterapkan dengan lebih banyak ilmu mengenai Al-Quran sepertinya menghadiri kelas agama. Selain itu, remaja juga boleh mengisi masa lapang mereka dengan mengikuti aktiviti kerohanian seperti bertadarus Al-Quran di masjid mahupun surau. Pembacaan dan penghayatan Al-Quran pada masa kini dilihat benar-benar penting bagi mengelak dan menjauhkan remaja dari pelbagai penyakit sosial yang sangat merugikan masa depan mereka.

Bukannya zuhud mengkaji Al-Quran dengan lebih mendalam tetapi ia lebih bermakna jika disertai dengan aktiviti kehidupan yang kita sendiri sedia maklum dengan kehidupan kini yang lebih besar dugaan dan banyak cabarannya. Kepada golongan remaja, jadikanlah Al-Quran sebagai pendamping dan dekatkanlah diri dengan Al-Quran sebagai panduan terhadap kebenaran yang kekal selamanya kerana selagi kita berpegang teguh kepada Al-Quran, Insyaallah perjalanan hidup kita akan sentiasa diberkati dan diredai.

No comments:

Post a Comment