Saturday, October 24, 2009

MEDIA ALTERNATIF SEBAGAI PENCETUS IDEOLOGI DALAM BERDEMOKRASI

Oleh: Mohd Sharkawi bin Londing dan Nor Shazwani binti Abd Rashid.

Media yang mainstream, merujuk kepada media yang dikawal oleh kerajaan di mana media ini hanya mengeluarkan kenyataan menyokong di pihak kerajaan sahaja.

Berbeza pula dengan media alternatif yang banyak mengupas serta membincangkan pelbagai isu dunia berkaitan politik, ekonomi, pendidikan mahupun sosial. Maklumat yang disampaikan menerusi media alternatif adalah maklumat yang tidak terlalu bertapis dan kadangkala terdapat kenyataan yang boleh menghentam pihak kerajaan dan juga pandangan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan turut diluahkan menerusi media ini.

Masyarakat dapat menilai sama ada sesuatu isu yang disampaikan menerusi media mainstream ini benar atau hanya propaganda semata-mata dengan hanya merujuk media interaktif kerana terdapat maklumat yang tidak disiarkan di media mainstream akan disiarkan di media interaktif. Berdasarkan kenyataan ini, bersempena Hari Kebebasan Akhbar yang disambut setiap 3 Mei, adalah penting untuk masyarakat disedarkan tentang kehadiran media massa alternatif yang semakin berkembang dalam masyarakat yang menjunjung demokrasi.

Di sesetengah negara maju, media alternatif mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan isu mengenai kehidupan golongan atau kumpulan minoriti sehinggakan terdapat sarjana dan cendekiawan yang membuat kajian mengenai isu tersebut. Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili golongan majoriti.

Chris Atton dalam artikelnya 'A Reassessment of The Alternative Press' telah mengesyorkan tiga kriteria mudah untuk mendefinisikan penerbit alternatif. Beliau berpendapat bahawa sesebuah penerbit itu boleh dikatakan sebagai penerbit alternatif jika ia memenuhi salah satu syarat.

Pertama, penerbit bukanlah bersifat komersial, mempamerkan keprihatinan asas idea dan bukannya keuntungan sebagai matlamat penerbitannya. Kedua, subjek perkara penerbitan mereka sewajarnya memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali. Akhir sekali, penerbit mempunyai bukti cukup bagi mendefinisikan dirinya sebagai penerbit alternatif.

'Royal Commission on the Press 1997' dalam laporannya mengenai akhbar alternatif di British menegaskan sesebuah penerbitan alternatif mengetengahkan pandangan kumpulan minoriti.

Selain itu, akhbar alternatif menjadi suara pandangan masyarakat untuk berkongsi idea di mana pandangan mereka tidak diketengahkan oleh akhbar mainstream. Berdasarkan definisi ini, jelas sekali dalam masyarakat yang teguh demokrasinya, peranan media alternatif diiktiraf sekaligus diberi ruang mengambil tempat sebagai sebahagian sistem masyarakat.

Di peringkat antarabangsa, peranan media alternatif dapat dilihat begitu progresif. Berdasarkan laporan perang Iraq, media mainstream dilihat begitu berat sebelah oleh sesetengah media massa Barat bagi menjaga kepentingan Amerika dan sekutunya.

Pembunuhan wartawan Al-Jazeera dan Reuters di Baghdad ketika kemuncak pencerobohan tentera bersekutu, membuktikan betapa sesetengah kerajaan Barat tidak senang dengan laporan mengenai kezaliman mereka. Sikap berat sebelah itu lebih terserlah apabila wartawan Peter Arnett dipecat tetapi keterbukaan masyarakatnya terbukti apabila wartawan veteran ini diambil oleh Daily Mirror iaitu sebuah akhbar alternatif, tidak sampai 24 jam beliau dipecat oleh NBC.

Berdasarkan perkembangan ini, satu hal yang perlu diakui iaitu dunia Barat masih memberi ruang kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza untuk menyatakan pandangan melalui media massa alternatif. Bagaimanapun, perkara ini agak terbatas dalam senario dunia kewartawanan di tanah air kita.

Peluang untuk menyatakan pandangan berbeza ini terbatas dan tidak diberi ruang untuk bernafas. Banyak perkembangan dalam negara membuktikan suara golongan minoriti, malah boleh jadi kumpulan majoriti tidak diketengahkan oleh media massa yang didakwa sebagai arus perdana. Sebagai contoh, bantahan dan demonstrasi rakyat berhubung kenaikan harga minyak tidak disiarkan oleh kebanyakan media massa tempatan. Ertinya kumpulan rakyat ini dinafikan hak mereka mendapat tempat dalam media massa arus perdana.

Apabila dinafikan hak mereka oleh media arus perdana, adalah penting untuk media alternatif memikul tanggungjawab itu. Malangnya, di negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi, hak media alternatif disekat.

Berbicara tentang hal ini, kita sebagai golongan yang berpendidikan tidak sewajarnya cepat melatah dengan kemunculan media alternatif yang dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Maklumat dan mesej yang disebarkan ada kalanya benar dan begitulah sebaliknya. Apabila kita sudah hilang kepercayaan terhadap media utama, pilihan kita beralih kepada media alternatif seperti blog, email dan sebagainya.

Tapi tidakkah kita terfikir, adakah media alternatif itu boleh dipercayai dan sebenar-benarnya telus? Namun begitu, ada sesetengah pihak menyalahgunakan hak bersuara ini dengan menyebarkan fitnah dan maklumat yang palsu.

Jika kita lihat lebih mendalam lagi dengan kewujudan media alternatif, ianya bukan sahaja tertumpu kepada isu politik semata-mata, malah ia digunakan untuk bersosial. Media alternatif seperti internet yang melibatkan banyak laman sosial contohnya blog, email, friendster dan sebagainya. Media seumpama ini dilihat sebagai alternatif kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara maya dengan masyarakat di seluruh dunia yang mana rangkaian internet dapat dicapai.

Secara tidak langsung, masyarakat boleh melontarkan idea, pendapat dan ketidakpuashatian mereka terhadap pihak kerajaan. Dalam erti kata lain, media alternatif ini telah memberi ruang kepada beberapa teknologi lain untuk turut berkembang sejajar dengan pembangunan dan perkembangan media alternatif ini. Isu politik, ekonomi, pendidikan dan sosial boleh diketengahkan menggunakan media alternatif seperti ini.

Jelasnya, apa yang penting adalah bergantung kepada hak individu masyarakat itu sendiri untuk memilih dan menilai mana baik dan buruknya dalam penggunaan media alternatif sebagai satu cara dalam melayari dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Masyarakat akan berpecah jika ada segelintir masyarakat menggunakan kemudahan media alternatif secara negatif kerana maklumat yang disebarkan tidak betul dan boleh mengganggu gugat keamanan negara.

No comments:

Post a Comment