Saturday, October 24, 2009

PERKEMBANGAN WARISAN CANGGUNG DI MALAYSIA

Oleh : Samsia Samsi, Muhammad Mustakim Ramli & Hairul Azhar Jaafar.


“Ala canggung, makcik pakcik canggung, canggung canggung la la li la leh”

ALUNAN lagu canggung pastinya mengasyikkan, apatah lagi jika didendangkan dengan pantun-pantun Melayu lama. Namun, di sebalik keasyikan itu, ada kesamaran yang mencetuskan persoalan sama ada tarian canggung itu berasal dari Malaysia ataupun mendapat pengaruh dari luar.

Kesempatan mendekati Pengarah Pusat Budaya Universiti Utara Malaysia (UUM), Huzaidy Hj Hussain, membangkitkan perasaan ingin tahu berkaitan dengan perkembangan warisan canggung di Malaysia. Tarian canggung merupakan salah satu tarian yang sinonim dengan masyarakat negeri Perlis dan sangat popular di negeri Kedah mahupun Pulau Pinang. Menurut Huzaidy, tarian canggung bukan berasal dari negeri Perlis tetapi berasal dari negara Thailand.

Mengimbau sejarah, Perlis merupakan satu kawasan daerah yang sebahagian dari negeri Kedah. Oleh kerana terdapat perselisihan faham antara pemerintah Perlis dengan Kedah maka daerah Perlis telah dipisahkan menjadi sebuah negeri. Apabila negeri Perlis keluar dari negeri Kedah, maka negara Siam telah berjaya memerintah negeri Perlis di bawah Raja Singgora. Pengaruh negara Siam dari segi politik, ekonomi dan kebudayaan telah berjaya diserap dalam masyarakat Melayu di negeri Perlis.

Asal usul tarian canggung adalah menerusi tarian rombong yang telah ditokok tambah oleh masyarakat negeri Perlis sehinggalah dikenali sebagai tarian canggung. Maka, budaya masyarakat merekalah yang memperkenalkan tarian canggung kepada masyarakat Melayu di negeri Perlis pada waktu itu. Perkataan ‘canggung’ berasal dari bahasa Thai iaitu tanggung yang bermaksud menari.

Tarian ini akan ditarikan selepas musim menuai untuk mengisi masa lapang para petani di mana masyarakat negeri Perlis bergantung sepenuhnya dengan sawah padi. Selain itu, tarian canggung juga dipersembahkan sewaktu festival ataupun upacara perkahwinan. Tambah beliau lagi, pantun yang dinyanyikan oleh penari canggung lebih berbentuk mengusik dan berjenaka. Kebiasaannya, pantun yang dihasilkan adalah berkisarkan tentang pertanian khususnya melibatkan kerja-kerja penanaman sawah padi.

Tarian ini melibatkan dua hingga lapan orang puteri yang berpasangan dengan lelaki di mana setiap pasangan akan menyanyi secara berbalas pantun mengikut rentak dan irama lagu sambil menari canggung. Biasanya, puteri canggung memakai baju kurung kedah dengan kain batik yang dihiasi bunga di sanggul dan memegang sapu tangan ketika menari.

Setiap persembahan canggung akan diiringi oleh kumpulan muzik dengan menggunakan peralatan seperti anak rebana, gong, gendang dan gesekan biola yang dibawa masuk dari negara Siam. Tarian canggung selalunya akan digandingkan dengan tarian cinta sayang, mak inang, ayam didik dan makyung laut.

Keunikan tarian canggung adalah hasil gabungan daripada dua pengaruh dalaman iaitu negeri Perlis dan Kedah yang diubah oleh masyarakat tempatan serta pengaruh luar daripada negara Siam. Bak kata pepatah Melayu “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, itulah ungkapan yang paling sesuai bagi mempertahankan warisan canggung di Malaysia supaya ianya tidak hilang ditelan zaman.

GEMALAI...Puteri dan lelaki berpasangan menari tarian canggung

CANTIK...Penari memakai pakaian tradisional ketika persembahan tarian canggung

1 comment:

  1. Hello, I would like to know any ways to have a contact with these authors. Please notice my message. I'm here for some researches. Thank you, ma'am sir.

    ReplyDelete