Saturday, October 24, 2009

RADIX FRIED CHICKEN (RFC) SATU ALTENATIF

Oleh: Zaliha Sanat, Muslihah Che Mat Rani & Tuan Siti Nuur Fatihah Tuan Soh


Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud, “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari dan apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu”. Dalam kemelut umat Islam pada hari ini yang mencari sumber makanan yang halal, sebuah organisasi francais milik bumiputera yang berlandaskan Islam bangun untuk mempromosikan produk makanan yang halal untuk kemudahan umat Islam yang mencari makanan yang halal.

HPA Industries Sdn. Bhd telah menubuhkan Radix Fried Chicken (RFC), yang mana ianya menyediakan makanan halal lagi bersih untuk kemudahan umat Islam di seluruh dunia, walaupun diawal penubuhannya ia dikatakan meniru restoran makanan segera yang popular iaitu Kentucky Fried Chicken (KFC). Restoran yang dimiliki oleh HPA Industries Sdn.Bhd ini merupakan tonggak kebangkitan produk halal yang disokong oleh 400,000 orang ahli-ahlinya yang mana suatu perkara yang menarik adalah sumber bekalan ayamnya di ambil daripada ladang HPA yang telah bertungkus-lumus menghasilkan ayam halal dipasaran.

RFC menggunakan radix cola buatan sendiri menggantikan coca-cola dan rempahan yang digunakan untuk menghasilkan ayam RFC juga diproses dengan resepi tersendiri seperti sos cili, sos tomato dan sos Thai juga dihasilkan di kilang HPA Industries Sdn.Bhd yang terletak di Jejawi Sematang, Perlis. Apa yang menarik ialah ahli-ahli yang makan di RFC akan diberi nilai mata yang sesuai dengan perniagaan Multi Level Marketing HPA, manakala restoran RFC pula akan di “franchise” kepada ahli-ahli HPA yang berminat menerusi satu pakej iaitu pakej RM1.5 juta yang merupakan nilai modal oleh individu atau syarikat yang berminat menjadi pemodal kewangan.

RFC yang bernaung di bawah syarikat HPA Industries Sdn.Bhd ini menekankan kualiti ayam yang dijadikan bahan makanan utama dalam menu mereka, yang mana ayam-ayam yang digunakan diternak sendiri di ladang syarikat serta penyembelihan yang terjaga hukum-hakamnya. Ayam-ayam itu juga bebas dari sebarang suntikan vaksin, antibiotik, mahupun beta agonist iaitu enzim penggemuk dari babi dan yang agak menarik, ayam-ayam keluaran HPA ini diberi makan spirulina, minyak ikan code dan dikenali sebagai ‘ayam organik’.

“Fresh, Organik, Halal”, dijadikan motto dalam memperkenalkan restoran ini di mata masyarakat dan sehingga Februari 2009, terdapat dua buah restoran yang baru ditubuhkan iaitu di Lagenda Heights, Sungai Petani dan Stesen Bas Syahab Perdana, Alor Setar. Menurut pengurus RFC, Syed Azahar Syed Kasim, idea untuk mendirikan restoran ini tercetus daripada pengasas HPA Industries Sdn Bhd, Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad, yang mana matlamat mereka adalah untuk melihat bumiputera memiliki syarikat yang berbentuk mudarabah tertubuh di samping memperkenalkan restoran makanan segera keluaran bumiputera yang terjamin halal 100%.

Siapa sangka, RFC juga bakal menembusi pasaran luar negara akhir tahun ini di Mekah dengan kerjasama saudagar Arab Saudi. Lokasi yang dipilih berhadapan dengan Masjidil Haram merupakan pendekatan yang cukup bernas dalam memartabatkan makanan keluaran orang Islam yang tidak perlu diragukan kesahihan halalnya. Sesuatu yang agak istimewa adalah penerapan amalan Islam dalam pekerjaan yang diterapkan oleh pihak pengurusan RFC adalah semua kakitangan serta pekerja di bawah naungan RFC diwajibkan memulakan kerja mereka dengan bacaan ma’thurat dan solat sunat dhuha bagi memohon keberkatan Allah S.W.T di samping mengikuti cara yang dipraktikkan oleh nabi junjungan Muhammad S.A.W sebelum memulakan perniagaan.

Menurut Syed Azhar, “Hj Ismail sebelum ini telah mengamalkan amalan sunnah ini sejak lapan tahun yang lalu iaitu dengan terbuktinya perniagaan ini semakin maju dan kini beliau berjaya membuka rangkaian perniagaan makanan halal di Malaysia”. “Ini membuktikan bahawa dunia perniagaan berlandaskan Islam boleh maju daripada perniagaan yang berkonsepkan kapitalis, di mana munculnya perniagaan makanan berasaskan syariat Islam seperti RFC”, ujarnya.

PENGUNJUNG...Radix semakin mendapat sambutan daripada orang ramai

PENGASAS...Hj Ismail Hj Ahmad merupakan pengasas HPA Industries

No comments:

Post a Comment